k



Sunday 14 September 2014

Fobia Ke Tandas


Soalan:
Anak  saya berusia tiga tahun lima bulan. Dia sangat aktif, bijak dan berbadan besar. Saya mengajarnya untuk tidak memakai lampin pada waktu siang dan pergi ke bilik air sekiranya hendak membuang air kecil.
Masalahnya anak akan menyuruh saya memakaikannya lampin sekiranya dia hendak membuang air besar. Sudah puas diajar dan dipujuk untuk ke tandas jika hendak membuang air besar tetap dia tetap enggan.
Sekiranya kami tidak memakaikan lampin kerana ingin mengajarnya ke tandas, dia rela tidak membuang air besar dan menunggu sehingga malam kerana dia tahu pada waktu malam dia akan dipakaikan lampin sebelum tidur. Apakah yang harus saya lakukan supaya dia tidak fobia ke tanda dan adakah ia terlalu awal untuk memahami?

Jawapan:
Mungkin ada ‘sejarah’ atau pengalaman tidak menyenangkan, menyakitkan atau menakutkan yang dialami oleh anak. Mungkin juga anak anda fobia duduk atau mencangkung di atas mengkuk tandas kerana khuatir akan terjatuh ke dalam lubang tandas.
Anak-anak kecil berasa gerun dan berasakan lubang itu terlalu besar untuknya. Perkara ini tidak boleh dibiarkan kerana ia akan menjadi satu tabiat. Tentunya agak sukar untuk membentuknya semula sekiranya dibiarkan sehingga suatu tahap anak akan berasa malu dan mahu berubah.
Mungkin anda berdua boleh menemankannya membuang air di dalam tandas sehingga selesai. Berilah tunjuk ajar bagaimana cara betul mencuci punggung atau pam tandas yang telah digunakan. Jangan mengharapkan anak untuk mencangkung sendirian di dalam tandas.
Temankan sehingga dia benar-benar berani berada di dalam tandas berseorangan. Terangkan kepadanya secara berhikmah tentang kemestian membuang air di dalam tandas dan keburukan membuang air di dalam lampin.
Kaitkan dengan isu kebersihan, kuman, kecantikan, kedewasaan (supaya dia berasa malu) dam sebagainya. In shaa Allah ia boleh membantu.

No comments:

Post a Comment